Monday, June 28, 2010

CUEPACS DESAK BONUS DUA BULAN

Utusan Malaysia
24/6/2010



MELAKA 23 Jun - Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) hari ini mendesak kerajaan mempertimbangkan semula permohonannya mendapat dua bulan bonus kepada kira-kira 1.2 juta kakitangan awam tahun ini.

Presidennya, Omar Osman berkata, berdasarkan tahap pemulihan ekonomi negara ketika ini, CUEPACS percaya kerajaan dapat memberi pertimbangan terhadap permohonan yang dikemukakan pada tahun lalu itu.

Menurut beliau, keseluruhan kakitangan awam benar-benar mengharapkan kerajaan mengumumkan pemberian bonus dua bulan gaji sewaktu pembentangan Bajet 2011, Oktober ini.

"Ekonomi negara sudah pulih dan saya mewakili seluruh kakitangan awam berjumlah 1.2 juta orang ini meminta kerajaan dapat memberi pertimbangan sewajarnya untuk pemberian bonus dua bulan gaji tahun ini.

"Tahun lalu, CUEPACS dapat menerima hakikat kegawatan ekonomi yang bukan sahaja melanda negara tetapi juga di peringkat global hingga memaksa permohonan yang kita kemukakan ditangguhkan," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah pada forum anjuran Persatuan Pegawai Akademik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini hari ini.

Sewaktu membentangkan Bajet 2010 tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa kerajaan tidak akan membayar bonus kepada kakitangan awam memandangkan keadaan ekonomi tidak menentu.

Bagaimanapun, kerajaan memutuskan membayar bantuan khas sebanyak RM500 diberi kepada kakitangan awam dan pesara.

Mengulas lanjut, Omar mengakui pembahagian bonus tersebut adalah hak mutlak kerajaan namun ia wajar dipertimbangkan.

Beliau menambah, pemberian bonus kepada kakitangan awam perlu bagi mengurangkan beban kakitangan kerajaan terutama kepada golongan yang berpendapatan rendah.

"Sekiranya permintaan ini ditunaikan kerajaan, kita anggap bajet yang akan diumumkan Oktober ini adalah yang terbaik untuk seluruh kakitangan awam," katanya.

Selain itu, ujarnya, pemberian bonus juga akan menjadi motivasi kepada penjawat awam dalam menghadapi Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) untuk lebih berfikiran kreatif, inovatif dan berintegriti tinggi.

Di samping itu, juga Omar menambah, CUEPACS turut memohon kepada kerajaan agar bantuan kewangan menguruskan jenazah penjawat awam dapat dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM3,000.

No comments:

Post a Comment